Kayaaku Wallet FINEXUS menjadi e-dompet pertama di Malaysia yang berintegrasi dengan MyDigital ID. Maka, pengguna Kayaaku Wallet kini mempunyai pilihan alternatif log masuk tunggal, selain daripada kata laluan dan biometrik sedia ada e-dompet. MyDigital ID adalah inisiatif kerajaan bagi penyelesaian identiti digital yang selamat dan diyakini, yakni membolehkan pengesahan identiti dengan menggunakan pangkalan data kerajaan tanpa menyimpan sebarang data peribadi.
Melalui MyDigital ID, kerajaan berhasrat untuk membanteras penipuan siber yang mengakibatkan rakyat Malaysia kerugian besar sebanyak RM53.34 bilion pada tahun 2024, di mana kecurian identiti merangkumi 21% daripada jumlah keseluruhan kes penipuan. Malah, Malaysia mencatatkan kadar kebocoran data peribadi tertinggi dalam kalangan pasaran utama Asia menurut Whoscall, dengan hampir tiga perempat (72.5%) pengguna di Malaysia mendapati maklumat peribadi mereka telah diceroboh.
“Kami berasa bangga menjadi e-dompet pertama di Malaysia untuk berintegrasi dengan MyDigital ID, lantas menggabungkan kemudahan dan keselamatan. Pengguna Kayaaku kini mempunyai pilihan alternatif untuk mengakses dompet mereka serta platform lain yang turut berintegrasi dengan MyDigital ID secara selamat, hanya dengan menggunakan satu kata laluan, disokong oleh proses pengesahan digital dan langkah-langkah keselamatan siber kami yang kukuh,” kata Clement Loh, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FINEXUS.
“Kayaaku Wallet serta Pekongsi Program MyXaaS FINEXUS kami kini dapat menikmati faedah tambahan daripada sistem keselamatan kami bertaraf perbankan. Semua aplikasi dan portal tersebut dihoskan di pusat data lokal milik penuh kami, untuk memastikan kedaulatan data dalam persekitaran digital yang sangat selamat,” tambah beliau.
Dengan lebih 2.3 juta rakyat Malaysia telah mendaftar untuk MyDigital ID, rakyat Malaysia dengan MyDigital ID kini boleh mengakses pelbagai aplikasi dan portal kerajaan seperti MySejahtera, MyJPJ dan MyBayar. Pada masa akan datang, JPN (Jabatan Pendaftaran Negara) akan secara automatik mendaftarkan setiap kanak-kanak berumur 12 tahun apabila mereka menerima MyKad.
“MyDigital ID memainkan peranan penting dalam memperkukuh kepercayaan dan keselamatan digital dalam ekosistem digital Malaysia. Sebagai satu-satunya platform identiti digital yang diiktiraf secara rasmi oleh Kerajaan Malaysia, MyDigital ID memastikan tahap keselamatan siber yang tinggi dan melindungi rakyat Malaysia dalam ruang digital,” kata Nik Hisham Nik Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif MyDigital ID Sdn Bhd.
“Kami mengalu-alukan integrasi MyDigital ID ke dalam sektor e-dompet melalui Kayaaku oleh FINEXUS, dan berharap lebih banyak pemain fintech serta penyedia perkhidmatan merentas industri akan mengguna pakai infrastruktur kepercayaan nasional ini bagi menyokong interaksi digital yang selamat dan lancar.”
Selain menawarkan keselamatan yang kukuh untuk aplikasinya, FINEXUS turut membolehkan Pekongsi Program MyXaaS untuk mencipta e-dompet yang berlesen dan terkawal yang boleh memindahkan dana serta membuat pembayaran dalam dan luar negara, melalui DuitNow, Mastercard, Alipay, Alipay+ dan Visa. Pengguna juga boleh memilih kad prabayar fizikal Mastercard atau Visa yang dipautkan dengan e-dompet mereka. Satu lagi fungsi penting ialah permintaan pembayaran (request-to-pay), yang membolehkan pengguna untuk memulakan dan mengurus permintaan pembayaran dengan mudah.
Sebagai pemangkin teknologi kewangan (fintech) strategik, FINEXUS menyokong rakan kongsinya dalam pematuhan kawal selia, penambahbaikan aplikasi secara berterusan, perkhidmatan pelanggan untuk pengguna e-dompet serta operasi pemprosesan perniagaan belakang tabir termasuk pengesanan penipuan dan penyelesaian transaksi. Rakan kongsi juga berpeluang menjadi peniaga dan/atau ejen untuk perkhidmatan pemerolehan atau terminal pembayaran.
Untuk maklumat lanjut untuk cara menjadi Pekongsi Program MyXaaS FINEXUS, sila layari https://home.finexuscards.com/ms/partner/
Untuk maklumat lanjut mengenai MyDigital ID, sila layari https://www.digital-id.my/